SELANGOR

Perangi penyakit bawaan tikus, MPKj tawar RM3 seekor

OLEH NAZLI IBRAHIM

CHERAS, 19 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meningkatkan usaha memerangi penyakit bawaan tikus dengan mengambil langkah mengurangkan populasi haiawan itu di kawasan pentadbirannya.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, antara langkah diambil MPKj adalah menawarkan RM3 kepada orang awam yang menyerahkan bangkai tikus kepada MPKj.

“Program hari ini, MPKj meletakkan racun tikus di lokasi-lokasi dikenal pasti di Bandar Mahkota Cheras.

“Dalam tempoh tiga hari lagi, racun ini akan memberi kesan di mana tikus-tikus akan mati dan selepas itu orang ramai boleh mengutip bangkai-bangkai ini untuk diserahkan ke Stor MPKj di Jalan Reko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Kawalan Tikus di Kawasan Komersial, Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, racun yang digunakan adalah jenis Racumin Tracking Powder dan Racumni Paste di mana ia akan bertindak balas pada hari ketiga.

Katanya, strategi tindak balas selama tiga hari ini mampu memberi impak maksima.

Katanya, strategi ini menyebabkan lebih banyak tikus ‘tergoda’ dengan umpan disediakan disebabkan tiada petanda awal keracunan terhadap tikus.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), MPKj, Mohammad Izuddin Ramli berrkata, MPKj turut mengambil langkah mewajibkan setiap premis melantik operator kawalan serangga dan haiwan perosak untuk memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.


Pengarang :