SELANGOR

Periksa latar belakang pengasuh

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 14 NOV : Ibu bapa perlu memeriksa latar belakang pengasuh jika mahu menghantar anak mereka ke rumah jagaan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak terbabit.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ibu bapa tidak boleh hanya meletakkan anak di rumah pengasuh, sekali gus membiarkan begitu sahaja.

“Saya optimis setiap ibu bapa mengambil serius memeriksa latar belakang pengasuh kerana daripada situ, kita boleh berjaga-jaga.

“Selain itu, saya turut mencadangkan supaya setiap pusat jagaan kanak-kanak dihadkan penjagaan kerana apabila terlalu ramai, dikhuatiri berlakunya tekanan dalam kalangan pengasuh, sekali gus kes penderaan terjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan daerah Gombak, di Ivory One Hall, Country Homes, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan kes penderaan seksual kanak-kanak 11 tahun yang berlaku di Bangi hingga meragut nyawa baru-baru ini, Masdiana berkata, beliau kecewa dengan kes berkenaan dan berharap pesalah dibawa ke muka pengadilan.

“Perkara itu amat memalukan, terutama ia membabitkan orang Islam dan ia tidak seharusnya berlaku.

“Bagaimanapun, saya optimis pihak berkuasa mengambil serius kes ini dan masyarakat terutama yang beragama Islam perlu sedar serta kembali kepada ajaran Islam,” katanya yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau nama mesranya, Zara berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia, Jumaat lalu.

Difahamkan, suami pengasuh berusia 36 tahun itu menjaga sepenuhnya Zara sejak dihantar di bawah jagaan isteri lelaki berkenaan, berusia 28 tahun, pada 21 September lalu.

Bayi itu dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, sejak Rabu lalu.

 


Pengarang :