NASIONAL

Perinci mekanisme permohonan tambah taska

PUTRAJAYA, 5 NOV: Mekanisme permohonan penambahan taska di bangunan kerajaan akan diperincikan selepas Belanjawan 2019 diluluskan, di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, peruntukan RM10 juta untuk menambah 50 taska akan memberi dorongan kepada agensi kerajaan untuk menyediakan taska, di pejabat serta mengalakkan lebih ramai wanita terus bekerja.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas terdapat agensi kerajaan yang mendakwa menghadapi kesukaran menyediakan kemudahan taska berikutan kekangan bajet dan kekurangan tempat.

“Dengan pengumuman bajet ini, kita ada peruntukan khas oleh Kementerian Kewangan untuk tujuan ini,” katanya lapor BERNAMA.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kementeriannya memandang serius keperluan taska di tempat kerja ekoran kes kematian bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, yang ditemukan di bahagian sejuk beku peti ais, di rumah pengasuhnya, di Batu Caves, pada Julai tahun ini.


Pengarang :