NASIONAL

Perintah berkurung ESSZone lanjut sehingga 12 Disember

KOTA KINABALU, 27 NOV: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan hingga 12 Disember 2018, berkuat kuasa hari ini dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran serta mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi, pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

Katanya, ia juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone.

“Perintah berkurung akan memudahkan penguat kuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet juga nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka,” katanya.

Omar berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.


Pengarang :