EKONOMIGLOBAL

Perjanjian ASEAN bagi e-dagang buka laluan ke arah ekonomi digital

SINGAPURA, 13 NOV: Perjanjian ASEAN mengenai e-dagang membuka laluan bagi ekonomi digital untuk terus berkembang di rantau ini dan pada masa sama memperkukuh peraturan perdagangan dan pembangunan kesambungan digital serantau.

Ekonomi internet ASEAN dianggarkan mencapai US$200 bilion menjelang 2025.

“Negara Anggota ASEAN (AMS) komited untuk mengekalkan, atau menerima guna secepat yang boleh dilaksanakan, undang-undang dan peraturan yang mentadbir urus transaksi elektronik dengan mengambil kira konvensyen antarabangsa atau model undang-undang berkaitan e-dagang yang terpakai,” menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu yang ditandatangani pada Isnin telah disahkan oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-50 pada 29 Ogos, 2018.

ASEAN kini mempunyai 330 juta pengguna internet – jumlah pengguna internet ketiga terbesar di dunia. Secara purata pengguna internet di ASEAN meluangkan masa 3.6 jam sehari di internet mudah alih – lebih daripada pengguna lain di dunia.

Kementerian itu berkata lebih 50 peratus penduduk ASEAN berusia di bawah 30 tahun dan mempunyai daya tarik yang lebih besar kepada teknologi dan transaksi berasaskan internet.

Selain perjanjian itu, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-17 tersebut juga memuktamadkan Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan.

Ia akan memperkukuh penyepaduan pasaran perkhidmatan ASEAN dan memperkenalkan komitmen berkaitan perdagangan perkhidmatan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih liberal, stabil dan boleh dijangka untuk pembekal perkhidmatan di rantau ini.

Mesyuarat itu juga memuktamadkan Protokol Keempat untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN yang akan memperkenalkan komitmen yang lebih kuat, yang melarang pengenaan keperluan prestasi ke atas pelabur, dan membantu ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :