SELANGOR

Perkasa gaya hidup sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Bermula tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan memperkasakan Program Gaya Hidup Sihat bagi meningkatkan kesedaran rakyat berhubung penjagaan kesihatan dari aspek fizikal, pemakanan dan mental.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah terbabit dapat mengurangkan kecenderungan mendapat penyakit tidak berjangkit, sekali gus boleh mengurangkan bebanan kos rawatan kesihatan.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Program Bantuan Sihat Selangor memperuntukan RM5 juta bagi meringankan beban kos pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

“Sehingga 16 November lalu, sebanyak 1,120 permohonan diluluskan dan seramai 315 pesakit mengemukakan tuntutan bayaran.

“Kerajaan Negeri turut membantu pesakit yang mendapat tajaan daripada pihak lain seperti Lembaga Zakat Selangor dan PERKESO bagi menampung kos yang tidak ditanggung agensi tajaan berkenaan seperti ubatan serta suntikan tambahan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri kini bekerjasama dengan pusat rawatan dialisis swasta sedia ada yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, Kerajaan Negeri juga tidak bercadang membina atau mempunyai pusat dialisis sendiri memandangkan Kerajaan Persekutuan menyediakan rawatan dialisis, di hospital kerajaan.

“Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pusat rawatan swasta yang terdapat di Selangor bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta berhampiran kediaman,” katanya.


Pengarang :