BERITA UTAMASELANGOR

Perkembangan sembilan Gugusan Selangor diumum tahun depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri akan memaklumkan perkembangan mengenai sembilan Gugusan Selangor bermula Jun 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menerima reaksi positif berhubung pengumuman kewujudan gugusan itu sejak Belanjawan Selangor 2019 pada 23 November lalu.

“Kita akan memastikan pelaksanaan gugusan ini dijalankan dengan teliti dan setiap langkahnya akan diperhalusi.

“Perjalanan bagi merealisasikan sembilan gugusan ini juga akan melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang berkaitan supaya bersama-sama dan kita akan mengajak rakyat untuk memantaunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bahas Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sejak enam bulan lalu, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sudahpun mendapatkan maklumat berkaitan aset semasa kerajaan di setiap gugusan berkenaan.

“Oleh sebab itulah kita memilih Gombak, Serdang dan Hulu Langat sebagai Gugusan Pendidikan, ini kerana Kerajaan Negeri mahu memantapkan institusi pendidikan sedia ada di situ, sekaligus memfokuskannya menjadi gugusan yang lebih gah,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri mencadangkan sembilan gugusan utama bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke depan dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ia termasuk Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan ‘Science Park’ bagi kawasan Shah Alam, Subang Jaya, Puchong dan Cyberjaya.

Kedua, Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa bagi kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

Ketiga, Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan bagi kawasan Serendah, Sungai Choh dan Bukit Beruntung.

Keempat, Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim yang dikenalpasti di Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Telok Gong dan Sijangkang.

Kelima, Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan bagi kawasan Telok Panglima Garang, Rawang, Kuang, Bernam Jaya dan Lembah Beringin, sementara keenam ialah Gugusan Eko-Pelancongan bagi kawasan Kuala Selangor, Taman Negeri, Pesisiran Pantai Morib, dan Sungai Pelek.

Ketujuh, Gugusan Perikanan dan Akuakultur di Kuala Selangor dan Sabak, sementara kelapan, Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani bagi kawasan Tanjung Karang dan Sungai Air Tawar.

Sementara terakhir ialah Gugusan Pendidikan meliputi kawasan Gombak, Serdang dan Hulu Langat.


Pengarang :