SELANGOR

Perkhidmatan Bas Smart Selangor diteruskan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor dengan cadangan peruntukkan RM30 juta bagi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan keprihatinan terhadap usaha mempertingkatkan taraf perhubungan pengangkutan awam yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta orang bagi tempoh sehingga 31 Ogos 2018, Kerajaan Negeri akan melakukan penambahbaikan seperti penjadualan dan kesesuaian bas yang lebih efisien bagi memastikan penggunaannya bermanfaat untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Langkah ini bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Bas Smart Selangor kekal relevan dengan perkhidmatan yang lebih moden, sistematik dan mesra pengguna.

“Capaian perkhidmatan pengangkutan yang cekap serta dipercayai membolehkan Kerajaan Negeri terus maju kehadapan dan mencerminkan kehidupan masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Amirudin berkata, kejayaan Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma ini berjaya menjadikan Selangor sebagai ‘role model’ kepada negeri-negeri lain untuk menyediakan perkhidmatan seumpamanya.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu mempunyai 38 laluan perkhidmatan bas baru yang diperkenalkan dengan jumlah 123 buah bas di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bas Smart Selangor yang pernah diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records, merupakan kerjasama Kerajaan Negeri dengan komitmen PBT dalam mempertingkatkan hubungan jaringan serta capaian kawasan bandar dan luar bandar ke arah lebih baik.

Selain Bas Smart Selangor, jaringan pengangkutan di Selangor turut merangkumi kepelbagaian sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), Bus Rapid Transit (BRT) dan komuter.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut berpandangan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mencapai kesalinghubungan pengangkutan awam berkonsepkan Perbatuan Pertama dan Terakhir (First and Last Mile) serta perkongsian basikal (bike sharing) perlu diperluaskan sebagai pengangkutan alternatif baru.


Pengarang :