SUKANKINI

Perlawanan Arsenal ditukar ke Kiev

KIEV 28 NOV: Pertembungan Liga Europa antara Arsenal dan kelab Ukraine, FFC Vorskla ditukar dari Poltava ke Kiev oleh UEFA, selepas darurat diisytiharkan di beberapa kawasan di negara itu akibat ketegangan politik dengan Russia.

Perlawanan itu kini akan berlangsung di ibu kota Ukraine, lebih 300 kilometer dari Poltava, pada jam 1.55 pagi Jumaat ini (waktu Malaysia).

“UEFA hari ini memutuskan untuk mengubah lokasi perlawanan peringkat kumpulan Liga Europa membabitkan FC Vorskla dan Arsenal FC dari kota Poltava, berikutan pengisytiharan darurat di beberapa kawasan di Ukraine,” kata badan induk bola sepak Eropah itu dalam satu kenyataan.

“Perlawanan itu kini akan berlangsung di Stadium Olimpiyskiy di Kiev.”

Menurut UEFA, perlawanan akan datang di Ukraine, yang menjadi venue aksi final Liga Juara-Juara tahun lalu, juga akan ditukar ke lokasi lain.

“UEFA akan terus memantau dan menilai situasi keselamatan di Ukraine sebelum membuat keputusan berkenaan perubahan lokasi perlawanan lain,” katanya.

Presiden Ukraine, Petro Poroshenko semalam memberi amaran berkenaan ‘perang’ dan berkata Russia sudah menambah jumlah tentera di sempadan mereka.

SUMBER: AFP


Pengarang :