SELANGOR

Perpustakaan bergerak PPAS meriahkan Jelajah 360° Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Jom Lepak di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sempena Jelajah 360° Smart Selangor bakal menarik penduduk di sekitar Hulu Selangor.

Pengarahnya, Mastura Muhammad berkata, melalui program jelajah kali ini, PPAS akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik di perpustakaan bergerak mereka.

Katanya, antaranya termasuk 1,500 bahan bacaan untuk semua peringkat usia serta tempat membaca yang lebih selesa buat pengunjung.

“Kita menyediakan tempat berhawa dingin, perkhidmatan jalur lebar percuma (WiFi), kerusi ‘bean bag’ dan juga tikar bagi membolehkan anak-anak bersantai sambil membaca.

“Lebih menarik, kami menyediakan buku dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan semua kaum dapat menikmati kemudahan ini, ia termasuk buku Bahasa Melayu, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Inggeris,” katanya kepada SelangorKini.

Program Jom Lepak di PPAS dijangka bermula dari 17 hingga 18 November di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor.

Mastura berkata, ‘tagline’ Jom Lepak digunakan bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke perpustakaan.

Katanya, PPAS mahu konsep pendidikan dan hiburan (edutainment) diterapkan bagi membolehkan golongan kurang berminat ke perpustakaan akan lebih tertarik.

“Disebabkan itu, kali ini penganjur, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membawa selebriti, Ardell Aryana bersama-sama memeriahkan program PPAS Hulu Selangor.

“Saya gembira kerana MBI melalui Kerajaan Negeri begitu komited menjadikan perpustakaan di Selangor sebagai salah satu tempat menyeronokkan, bukan lagi terbelenggu dan dilabelkan tempat yang hambar,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut, orang ramai boleh melayari laman facebook MBI dan PPAS.


Pengarang :