EKONOMINASIONAL

Pertumbuhan eksport Malaysia pada September meningkat semula

KUALA LUMPUR, 2 NOV: RAM Rating Services Bhd menjangka pertumbuhan eksport Malaysia meningkat semula buat sementara waktu kepada 12.2 peratus pada September, selepas penguncupan kecil 0.3 peratus pada Ogos.

Dalam kenyataan, firma penyelidikan itu berkata jangkaan lebih tinggi itu disebabkan permintaan lebih baik dari China bagi input pengantara Malaysia berikutan syarikat China berusaha untuk memenuhi pesanan awal daripada Amerika Syarikat (AS) menjelang pusingan terkini tarif import AS yang dikenakan ke atas China pada 24 Sept.

Ketua Penyelidikan RAM Kristina Fong berkata setakat ini, turun naik aliran perdagangan didorong terutamanya oleh aktiviti itu untuk melindungi daripada peningkatan ketara dalam kos pengeluaran untuk perniagaan.

“Sehubungan itu, prestasi eksport dijangka mengakhiri tahun ini pada kadar rendah, melainkan terdapat satu lagi pusingan tarif yang tidak dijangka,” katanya.

Jangkaan ini turut disokong oleh pesanan eksport pembuatan China yang merosot dalam beberapa bulan ini.

Pusingan terkini semakan semula tarif menekankan kepada produk perindustrian dan bahan perkilangan, yang akan mengurangkan tarif purata untuk kumpulan barangan ini kepada 7.8 peratus daripada 10.5 peratus, dengan kira-kira 75 peratus daripada barangan menarik pengurangan antara sifar dan empat peratus.

“Eksport Malaysia bagi barangan ini ke China menyumbang hanya 0.4 peratus daripada jumlah eksport kita, dengan tiada kelebihan perbandingan yang dapat dilihat dalam pengeluaran kumpulan barangan ini.

“Oleh itu, prestasi eksport Malaysia dijangka tidak didorong oleh langkah liberalisasi tarif yang terkini,” katanya.

Berbanding eksport, pertumbuhan import dijangka berkurangan kepada 6.4 peratus pada September (Ogos: 11.2 peratus, tanpa rangsangan daripada tempoh bebas cukai yang menyokong permintaan import dalam tempoh tiga bulan lepas).

Secara keseluruhannya, lebihan perdagangan pada September dijangka mencecah RM13.3 bilion.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :