SUKANKINI

Piala Malaysia dipersembah kepada Sultan Nazrin pada 11 November

IPOH, 7 NOV: Piala Malaysia yang dimenangi Perak, pada perlawanan akhir menentang Terengganu, pada 27 Oktober lalu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Ahad ini, di Kuala Kangsar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, piala itu yang kembali kepada Perak selepas 18 tahun akan dibawa bersama barisan pemain sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Perak ke-62 yang disambut Jumaat lalu.

“Sehubungan itu, kami menjemput rakyat Perak untuk bersama datang ke program berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Radio Televisyen Perak di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Sementara itu, ketika mengulas desakan berterusan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan mengendalikan isu berkenaan sebaik mungkin.

Beliau turut meminta penyokong mengawal perasaan masing-masing demi memastikan The Bos Gaurus dapat melakar lebih banyak kejayaan.

“Kita akan cari jalan dan kaedah terbaik untuk pastikan perkara ini diselesaikan dengan baik serta tidak memberi kesan kepada pasukan,” katanya.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, dikritik hebat penyokong bola sepak tempatan kerana memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang sehingga tular dan dijadikan bahan lawak dalam media sosial.


Pengarang :