PENDIDIKANSELANGOR

PITAS gembira Belanjawan 2019 iktiraf institusi tahfiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 NOV: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) melahirkan rasa gembira apabila Belanjawan 2019 mengiktiraf institusi tahfiz di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, menerusi pembentangan belanjawan itu, Kerajaan melihat pendidikan tahfiz merupakan salah satu pendidikan arus perdana yang perlu diberi perhatian.

“Saya mewakili lebih 300 maahad tahfiz di Selangor dengan bilangan pelajar lebih 17,000 ingin menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH atas nikmat ini.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pembentangan bajet sekali gus memperlihatkan Kerajaan mengiktiraf bidang pendidikan ini,” katanya menerusi akaun instagramnya, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, Kerajaan akan menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta dengan meliputi sekolah Tahfiz sebanyak RM50 juta.

Pada masa sama, sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, beliau berharap supaya bantuan tersebut terus sampai kepada kumpulan sasaran dengan baik dan lancar.

“Semoga bantuan ini diteruskan pada masa akan datang secara perkapita, sebaliknya bukan secara ‘one off’ sahaja.

“Malah saya berharap supaya ia sentiasa meningkat setiap tahun mengikut pendaftaran institusi tahfiz persendirian seluruh negara,” katanya.

 


Pengarang :