PBTSELANGOR

PJ Eco Recycling Plaza atasi masalah sampah

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 6 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Kempen Kitar Semula Styrofoam dan pra perasmian PJ Eco Recycling Plaza ke arah penyelesaian isu penjanaan sampah, di bandar raya berkenaan, pada 5 November lalu.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataan berkata, langkah itu selari dengan visi Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan ke arah PJ Sustainable 2030.

“Ia adalah alternatif bagi mengatasi masalah berkaitan di Petaling Jaya yang kini mencecah 600 tan sampah setiap hari.

“Selain itu, MBPJ juga ingin meneruskan usaha mengurangkan kos pengurusan sampah tinggi iaitu dengan memperuntukkan hampir RM5 juta daripada belanjawan tahunan hanya untuk pengurusan sampah sahaja,” katanya.

Berhubung PJ Eco Recycling Plaza yang dijangka siap sepenuhnya pada penggal ketiga tahun depan, MBPJ berkata, pihaknya membelanjakan RM450,000 bagi facade bangunan, tingkat bawah dan kawasan luar bangunan.

Katanya, dijangkakan RM1 juta lagi akan dibelanjakan bagi memastikan bangunan itu beroperasi sepenuhnya, pada tahun depan selain meluluskan pembiayaan RM840,000 bagi melengkapkan projek ‘Waste Treatment Facility’, di sini.

“MBPJ juga menerima sumbangan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor sebanyak RM100,000 dan sektor korporat untuk membangunkan projek ini,” katanya.

PJ Eco Recycling Plaza adalah projek pertama di Malaysia mempamerkan sisa hasil daripada pengasingan sampah dan ia mendapat kerjasama sektor korporat seperti Syarikat F&N, Tetra Pak, Spark Foundation, INTCO dan CH Green.

Bangunan plaza itu akan mempunyai sudut pameran atau galeri 3R, bengkel upcycling, ruang aktiviti kanak-kanak dan komuniti, studio tayangan video serta bilik kemudahan seminar.

 


Pengarang :