SELANGOR

PKNS akan mulakan kerja baik pulih selepas siasatan selesai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan memulakan kerja baik pulih bangunan Uptown Seksyen 24 Shah Alam sejurus siasatan daripada pihak Jabatan Bomba dan polis selesai.

Pengurus Komunikasi Korporat, Ishak Hashim berkata, PKNS masih menunggu laporan penuh kejadian sebelum tindakan selanjutnya diambil/

“PKNS akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera setelah semua isu berkaitan keselamatan, pendawaian dan struktur bangunan diatasi.

“Bagaimanapun, PKNS masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan dapat dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dalam kenyataan awal memaklumkan kejadian kebakaran itu memusnahkan 35 lot kedai dan pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.37 pagi.

Seramai 39 anggota dari Balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian manakala kebakaran berjaya dikawal sekitar 5.50 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca dan jumlah kerugian masih disiasat.


Pengarang :