SELANGOR

PKNS raih anugerah ASEAN Energy Award 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul pemenang bagi kategori “Green Large Building” di ASEAN Energy Awards 2018, di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre, Singapura, pada 29 Oktober lalu.

Pengiktirafan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri itu sekali lagi mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya rantau ASEAN.

Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14 di sini, dengan seni bina berteknologi tinggi muncul sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya memenangi kategori berkenaan mengetepikan pencabar lain dari seluruh ASEAN dengan wakil negara selebihnya menduduki tempat kedua dan ketiga mengikut kategori masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof menerima anugerah berkenaan daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dato Lim Jock Hoi sempena 36th ASEAN Minister on Energy Meeting (AMEM).

“Pengiktirafan ini adalah ke-11 diterima bangunan Ibu Pejabat PKNS yang kini mercu tanda ikonik terbaharu di Shah Alam.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi satu kebanggaan buat PKNS tetapi kepada Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, bangunan terbabit turut menerima Anugerah Asia Pacific Property Awards Development 2013-2014 bagi kategori Best Development Malaysia, Anugerah Platinum Design Assessment of Green Building Index, Anugerah Best GBI Rated Corporate Office oleh Prestigious Developer Awards dan Anugerah Gold Award bagi kategori ‘Commercial Low Rise’ daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia.

Selain itu, PKNS juga dianugerahkan dengan President Award & Honour Award Professional Category Landscape Design Award Malaysia Project bagi kategori Landscape Design Award Malaysia Project daripada Institute of Landscape Architect Malaysia (ILAM), National Energy Awards 2018 bagi kategori Energy Efficiency (Green Building) & Energy Efficient Design daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, MIP Planning Excellence Awards 2018 bagi kategori Low Carbon City Awards (Government Initiatives) dan Innovative Planning Awards (Technology Planning).


Pengarang :