KENYATAAN MEDIA

PKPIM sambut baik cadangan pinda AUKU

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik keputusan Kabinet yang bersetuju untuk meminda Seksyen 15 & 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, peruntukan yang terlibat ialah Seksyen 15(2)(c) Akta ini yang melarang mana-mana mahasiswa daripada melibatkan diri dalam sebarang kegiatan parti politik di dalam kampus-kampus universiti awam.

Menurut beliau, tindakan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum undang-undang baharu mengenai pendidikan tinggi negara digubal bagi menggantikan AUKU 1971 menjelang tahun 2020.

PKPIM juga berpandangan akta-akta lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Terpakai terhadap IPTS) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Terpakai terhadap UiTM, Kolej-kolej Matrikulasi, Politeknik-politeknik, Institut-institut Pendidikan Guru dan Kolej-kolej Komuniti) yang turut mempunyai peruntukan yang sama juga harus dipinda bagi memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memanfaatkan kebebasan bersuara dan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(a) & (b) Perlembagaan Persekutuan di samping menyuburkan semangat demokrasi dalam kalangan mahasiswa.

PKPIM juga menyarankan agar kerajaan mengkaji semula cadangan penubuhan cawangan-cawangan parti politik di setiap IPT tempatan. Hal ini adalah penting bagi memastikan agenda pemerkasaan golongan mahasiswa dalam arena politik nasional tidak disalahgunakan oleh mana-mana ahli politik untuk mencapai cita-cita peribadi mereka yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

PKPIM meletakkan setinggi-tinggi harapan dan keyakinan kepada kerajaan dan KPM khususnya supaya Iltizam 4(3) dalam Buku Harapan yakni manifesto mengenai pemansuhan AUKU seperti yang dijanjikan semasa PRU14 dapat ditunaikan menerusi keputusan yang diambil oleh Kabinet ini dalam usaha memperkasakan golongan anak muda dalam era Malaysia Baharu kini.

Akhir kata, PKPIM akan terus menyokong dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan agenda reformasi universiti dapat direalisasikan.

Hidup Biar Berjasa

MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUS
Presiden,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM) Sesi 2018/2019.


Pengarang :