NASIONAL

PM di Tokyo untuk lawatan kerja ketiga

TOKYO, 5 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Tokyo, Jepun untuk lawatan kali ketiga ke negara itu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, pada Mei lalu.

Antara kemuncak lawatan selama tiga hari itu adalah istiadat pengurniaan darjah kebesaran ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’oleh Maharaja Jepun, pada Selasa, di Imperial Palace di sini, lapor BERNAMA.

Pesawat yang membawa pemimpin terulung Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda kira-kira jam 4 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Tun Dr Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan beliau dan delegasi ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negara Jepun, Toshiko Abe; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Penganugerahan darjah kebesaran tertinggi Jepun oleh Maharaja Akihito itu berikutan sumbangan besar perdana menteri dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.

Dalam lawatan itu juga, Tun Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri, yang berlangsung selepas istiadat penganugerahan berkenaan.

Pada hari kedua lawatan, beliau dijadual menghadiri Persidangan Bersama ke-36 Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca)-Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Forum Perniagaan Malaysia, di sini.

Beliau akan menyampaikan ucaptama berkaitan keadaan semasa, di Malaysia dan jangkaan pelaburan dari Jepun kepada kira-kira 600 tokoh korporat serta peneraju industri.

Sebelum itu, beberapa jam selepas ketibaannya, perdana menteri akan dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah oleh Tsukuba University di kampus Tokyo terhadap sumbangan beliau dalam mempertingkatkan pertukaran penyelidikan dan pendidikan, di peringkat antarabangsa.

Pada hari ketiga pula, Tun Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama di Toyo University, di sini dan berinteraksi dengan belia Jepun, terutama pelajar universiti itu.

Beliau akan berlepas pulang ke tanah air, pada tengah hari Rabu.


Pengarang :