NASIONAL

PM: KWSP dibenar labur unit hartanah

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 4 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibenarkan membuat pelaburan dalam unit hartanah melalui portal mekanisme pemilikan rumah baharu FundMyHome, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mekanisme itu mampu merealisasikan impian rakyat untuk memiliki rumah pertama sekali gus kerajaan boleh mencapai matlamat untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, seperti dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), yang lalu.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor hartanah tidak merosot sebaliknya ia sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dan mampu menjana pulangan menguntungkan pada masa akan datang.

“Janji untuk membina sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun bukan satu hal yang mudah tetapi ia sudah dijanjikan dan akan kita tunaikan juga.

“Kemudian wujud pula masalah lambakan rumah tidak terjual berikutan pelbagai faktor seperti tiada padanan pendapatan antara pembeli dan pelbagai syarat pembiayaan dikenakan oleh institusi perbankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sidang Media Majlis Pelancaran Portal Hartanah FundMyHome di EcoWorld Gallery, Eco Majestic, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengasas Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Rashid Abdul Manaf.

Terdahulu, Dr Mahathir turut melancarkan portal hartanah FundMyHome sebagai usaha membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.

EdgeProp Sdn Bhd selaku penyelaras portal berkenaan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman pada fasa pertama pelancaran dengan merangkumi nilai hartanah pada bawah RM500,000.

Di bawah konsep FundMyHome, pembeli cuma perlu membayar 20 peratus daripada harga hartanah untuk memiliki rumah manakala 80 peratus dibiayai pelabur menerusi kerangka pembiayaan rakan setara.


Pengarang :