NASIONAL

Polis bantu JKM periksa latar belakang pengasuh

PEKAN, 12 NOV: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyalurkan bantuan pemeriksaan latar belakang pengasuh kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kejadian penderaan dan kematian melibatkan bayi dan kanak-kanak kebelakangan ini memerlukan langkah penyelesaian lebih tuntas.

Menurutnya, kejadian yang berlaku menjadi ‘wake up call’ kepada polis untuk turut sama mengambil tindakan bersesuaian dengan kuasa yang ada.

“Kita boleh membantu dari segi maklumat sama ada pengasuh terbabit atau keluarganya pernah terbabit dengan jenayah atau pun penagih dadah seperti berlaku dalam kes-kes (dera) sebelum ini.

“Memang sebelum ini kita ada membantu dengan menjalankan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan tetapi polis mahu ke peringkat seterusnya sebagai langkah pencegahan.

“Kita akan terus memantau mereka yang membuka pusat jagaan sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia kali ke-30 (APAC-30) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Rosli Ab Rahman, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia Datuk Aishah Mohammad.

Media sebelum ini, melaporkan bayi berusia 11 bulan Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal meninggal dunia pada Jumaat lepas, selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor.

Bayi itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selain pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa juga didera secara seksual dipercayai dilakukan oleh suami kepada pengasuhnya yang positif dadah.

Noor Rashid seterusnya menasihatkan ibu bapa supaya lebih teliti ketika memilih pengasuh untuk menjamin keselamatan anak yang ditinggalkan dalam jagaan mereka.

“Ibu bapa seharusnya memeriksa latar belakang penjaga atau pengasuh yang ingin mereka upah. Ini kerana adakala mereka tidak tahu bahawa pengasuh, suami atau ahli keluarga yang tinggal bersama mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Banyak kes berlaku terutamanya melibatkan ibu bapa yang menghantar anak ke pengasuh persendirian tidak tahu dengan siapa mereka berurusan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :