NASIONAL

Polis: Elak letak telefon di ‘phone holder’ semasa mengisi minyak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 NOV: Polis menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri ketika berada di stesen minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Polis melalui kenyataan di laman facebook berkata, ia ekoran kekerapan berlakunya kes jenayah samun yang turut berlaku di stesen minyak.

“Polis memberi beberapa langkah keselamatan yang boleh diikuti, antaranya ialah elak mengisi minyak apabila sudah terlalu lewat malam atau di awal pagi sekiranya anda berseorangan, khususnya kepada kaum wanita.

“Jangan lupa untuk segera menguncikan pintu sejurus keluar dari kenderaan. Walaupun meninggalkan kenderaan tidak berkunci selama lima saat, itu boleh dijadikan peluang kepada penjenayah untuk menyamun atau melarikan kenderaan anda,” katanya.

Polis berkata, tindakan segelintir pemandu yang sengaja meninggalkan telefon mereka pada ‘phone holder’ di cermin kenderaan semasa ingin mengisi minyak mendatangkan bahaya.

Katanya, orang ramai tidak sepatutnya mengambil mudah dan merasakan keadaan sentiasa selamat.

“Peka dengan keadaan sekeliling walaupun ketika waktu siang dan segera laporkan kepada pekerja stesen tersebut jika terlihat individu yang mencurigakan.

“Sebagai maklumat tambahan, Polis telah bekerjasama dengan beberapa syarikat minyak melalui Program Go To Safety Point (GTSP) yang menjadikan stesen minyak sebagai lokasi alternatif untuk orang ramai mendapatkan bantuan ketika berdepan kecemasan,” katanya.

Maklumat lanjut tentang GTSP boleh dilayari di laman web http://www.rmp.gov.my/program-pdrm/go-to-safety-point-(gstp).


Pengarang :