NASIONAL

PRK DUN Rantau: KEADILAN mahu dengar pandangan semua sebelum putuskan calon

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: KEADILAN akan mendengar semua pandangan yang akan diberikan termasuk di peringkat cabang dan negeri sebelum memutuskan calon sesuai bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi berpendirian calon KEADILAN pada PRU-14 lalu, Dr S Streram perlu diberikan peluang bertanding kerana beliau sendiri memulakan proses bantahan dan petisyen ke mahkamah sebelum ini.

“Dia dinafikan hak dan beliau mencabar serta menang kes ini. Rantau adalah sebuah DUN dimana jumlah pengundi India antara tertinggi di seluruh Malaysia.

“Harap pemimpin di peringkat Cabang, Negeri dan Biro Politik boleh pertimbangkan,” katanya ketika sidang media selepas penagguhan Konvension Nasional KEADILAN ke-13 di IDCC, Shah Alam.

Menurutnya, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan memandangkan bekas penyandang kerusi berkenaan adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di DUN Rantau dibatalkan selepas menerima petisyen difailkan calon KEADILAN, Dr S Streram.


Pengarang :