NASIONAL

PRK DUN Rantau: Wanita KEADILAN mahu calon wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Wanita KEADILAN akan mencadangkan dua nama kepada pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Mantan Ketua Wanita KEADILAN yang juga Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, kedua individu yang dipilih adalah anak tempatan serta berkelayakan untuk bertanding, pada PRK berkenaan.

“Saya akan cadangkan wanita untuk menjadi calon PRK berkenaan kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tiada calon wanita diletakkan di negeri itu.

“Perkara ini penting kerana rakyat Negeri Sembilan sememangnya mahukan calon kelahiran negeri itu dan kita harap pucuk pimpinan dapat mempertimbangkannya,” katanya pada Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, di IDCC, di sini.

Cadangan itu disambut baik Ketua Wanita KEADILAN baharu, Haniza Talha yang menyifatkannya peluang baik kepada pimpinan wanita lebih-lebih lagi dalam Kerajaan Negeri.

“Kita lihat di Negeri Sembilan tiada wanita, jadi saya setuju jika kita cadangkan wanita disenaraikan, namun ia bergantung kepada pimpinan sayap wanita dan pusat untuk membuat keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau, pada PRU14 lalu batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding perlu diadakan serta-merta.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam respondan, Mohamad yang berlangsung selama 12 hari membabitkan 19 saksi perbicaraan.


Pengarang :