NASIONAL

Produk pertanian catat potensi jualan RM169 juta

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Produk pertanian negara mencatatkan potensi jualan berjumlah RM169 juta hasil penyertaan dalam program promosi di luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya sudah terbabit dalam 30 ekspo perdagangan antarabangsa dan program promosi ‘in-store’, sehingga September lalu.

“Ini membuktikan terdapat permintaan signifikan terhadap produk pertanian Malaysia terutama di China, Eropah, Timur Tengah, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau menjawab soalan Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkenaan potensi eskport produk pertanian ke luar negara terutama China.

Katanya, Singapura, Indonesia, China, Thailand dan Vietnam adalah pasaran utama produk pertanian Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM14.5 bilion atau 45.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport makanan Malaysia, pada 2017.

Sementara di China, katanya, antara produk pertanian Malaysia paling mendapat tempat ialah durian dengan negara berjaya mengeksport durian dalam bentuk isi buah dan paste berjumlah RM7.4 juta bagi tempoh lapan bulan pertama, pada tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan kemungkinan berlakunya pengeksportan durian secara haram ke China, Salahuddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian lain bagi membendung perkara itu.

“Kami akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kementerian lain jika bersangkutan dengan pelabuhan, dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya kegiatan eksport secara haram dapat dikawal dengan serius,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya juga sedang melihat potensi eksport buah nangka, ikan hiasan dan makanan ikan ke luar negara.


Pengarang :