NASIONAL

Program ‘Diversion’ elak kanak-kanak ditahan – Wan Azizah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melaksanakan projek perintis ‘Diversion’ bagi tujuan mengelakkan pesalah jenayah kanak-kanak dari terus ditahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah sistem ‘pengalihan’ melibatkan kanak-kanak terlibat jenayah ringan daripada terus dihukum sistem kehakiman sedia ada.

“Melaluinya kanak-kanak terlibat akan menjalani modul intervensi khas mengikut jenis kesalahan dan latar belakang mereka.

“Modul itu merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, pembayaran ganti rugi atau membaikpulih kerosakan yang dilakukan.

“Mengikut modul ini, kanak-kanak ini juga tidak akan ditahan,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi (STBSB), hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, ini kerana ada kanak-kanak yang mengalami kesan psikologi buruk setelah melalui proses perundangan sedangkan kesalahan yang dilakukan adalah kecil.

“Inisiatif ‘diversion’ ini akan dipertimbangkan untuk dilaksana sekali gus menjadi alternatif rehabilitasi.

“Saya percaya dan yakin anak-anak ini mampu mengubah nasib mereka dan menjadi insan atau pemimpin di masa depan,” katanya.


Pengarang :