NASIONAL

Program Peduli Kesihatan B40 dijangka mula awal 2019

PUTRAJAYA, 12 NOV: Program Peduli Kesihatan yang membolehkan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menjalani saringan penyakit tidak berjangkit dijangka bermula awal tahun depan (2019), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan adalah berdasarkan peruntukan RM100 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, awal bulan ini.

“Kementerian Kesihatan akan menyenaraikan penyakit tidak berjangkit yang akan dikenal pasti dalam saringan tersebut. Antaranya ialah kencing manis dan darah tinggi,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra Menteri Kesihatan bersama warga ibu pejabat Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata fokus program Peduli Kesihatan B40 adalah mengenal pasti dan mengawal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan golongan B40 dan program itu adalah berbeza dengan skim perlindungan kesihatan lain di bawah Kementerian Kewangan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :