BERITA UTAMASELANGOR

Program Usahawan India Selangor bakal diteruskan, beri lonjakan positif B40

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Usahawan India Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mengasah kemahiran bagi mempertingkatkan pendapatan serta kualiti kehidupan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program melahirkan lebih ramai usahawan baharu dari peringkat akar umbi akan terus disuburkan kerana mereka juga menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi.

“Kita komited membantu usahawan kecil kerana penggerak dan nadi utama ekonomi.

“Keberanian berkecimpung dalam bidang keusahawanan harus diberikan pujian kerana program ini dapat membantu usahawan dinperingkat akar umbi.

“Dalam Belanjawan (Negeri Selangor) 2019, yang saya akan bentangkan 23 November hadapan, kita akan merancang program-program serta aktiviti bagi melihat mereka yang berada dalam kumpulan B40 keluar dari kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Program Usahawan India Selangor 2018 di Pusat Konvensyen Midlands, semalam.

Program yang mula diperkenalkan sejak dua tahun lalu ini telah mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 400 perserta sudah menyertai hampir 24 kursus yang ditawarkan pada 2018.

Antara kursus yang ditawarkan termasuklah rekaan grafik, jahitan, fotografi dan bakeri.

Amirudin berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu golongan B40 mendalami ilmu kemahiran kerana program berdasarkan pemberian wang semata-mata tidak mampu mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata pertambahan kursus kemahiran pada 2018 menunjukkan program ini mencapai matlamat.

Beliau turut bersetuju sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan Bazar Usahawan India di Klang bagi memberi peluang peserta membuat perniagaan di seluruh Selangor.


Pengarang :