GLOBAL

PRU Sri Lanka 5 Januari 2019

COLOMBO, 10 NOV: Pilihan Raya Umum Sri Lanka bakal berlangsung pada 5 Januari 2019 selepas presidennya, Maithripala Sirisena membubarkan Parlimen, malam tadi.

Langkah yang dilihat bakal mengeruhkan lagi kemelut politik, di negara itu dan dijangka dicabar di mahkamah diumumkan dalam pekeliling rasmi ditandatangani Sirisena sendiri, malah beliau turut menetapkan tarikh persidangan Parlimen, pada 17 Januari 2019.

Keputusan itu berlaku selepas ketegangan politik sejak dua minggu lalu yang menyaksikan pemecatan mendadak Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe dan pelantikan pemimpin pro China, Mahinda Rajapaksa sebagai ganti.

Susulan pemecatan, Sirisena turut menggantung sidang Parlimen yang disifatkan Wickremesinghe sebagai cubaan menghalang beliau daripada mencabar keputusan berkenaan secara perundangan.

Sirisena kemudiannya bersetuju menggerakkan semula Parlimen, pada 14 November, namun keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Wickremesinghe terdahulu enggan meninggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri dan menegaskan, beliau dipilih secara sah mengikut majoriti Parlimen.

Sirisena sebelum menandatangani pembubaran Parlimen bertindak melantik beberapa sekutu termasuk Rajapaksa untuk memegang jawatan dalam kabinet.

Pakar perundangan bebas memberitahu, Parlimen hanya boleh dibubarkan awal tahun 2020 iaitu 4 1/2 tahun dari tarikh persidangan Parlimen sedia ada.

Satu-satunya cara yang sah untuk tindakan berkenaan adalah menerusi referendum atau perkenan daripada 2/3 penggubal undang-undang. – BHOnline/Reuters

 


Pengarang :