NASIONAL

PTPTN hargai kerajaan laksana penambahbaikan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghargai keputusan kerajaan bagi memenuhi permohonannya dalam usaha penambahbaikan dan mengurangkan beban peminjam.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika pembentangan Belanjawan 2019 pada sidang Dewan Rakyat, semalam, berkaitan PTPTN memberi implikasi positif terhadap perbadanan itu.

“Semua ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi sedang kami usahakan di PTPTN, terutama dalam rangka memastikan bebanan hutang amat tinggi diwarisi daripada kerajaan terdahulu dapat diselesaikan.

“Penjelasan lebih terperinci mengenai perkara ini akan saya lakukan dalam sesi pertemuan dengan pemegang taruh di seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengembalikan peranan PTPTN sebagai sebuah tabung pendidikan bersesuaian dengan niat asal penubuhannya dan bukan lagi bagi tujuan politik hingga dikenali sebagai pemberi pinjaman serta berlaku penyelewengan.

“Kita juga akan mendidik masyarakat dengan nilai murni pernah dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu rajin bekerja (hardworking), amanah (honesty) dan malu melakukan kesalahan (honour).

“Semua ini adalah nilai diperlukan untuk memastikan rakyat akan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan dan kewajipan dalam segala urusan termasuk berkaitan PTPTN,” katanya.

Beberapa langkah pelaksanaan diambil kerajaan dalam Belanjawan 2019 adalah pembayaran balik melalui potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatannya di mana ia hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Selain itu, ia termasuk pelepasan cukai kepada syarikat membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019, layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,00.

Potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 mendapat keputusan kelas pertama dan menghapus kira baki hutang kepada peminjam berusia 60 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang RM4,000 yang memanfaatkan lebih kurang 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.


Pengarang :