SELANGOR

PWB: 60 wanita sertai Kursus Keusahawanan & Kesihatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 20 NOV: Seramai 60 wanita berpendapatan rendah, dari sekitar daerah Sementa dan Meru menyertai Kursus Keusahawanan serta Kesihatan di Grand Hotel Kapar, di sini, hari ini.

Program selama sehari anjuran Pusat Berdaya Wanita (PWB) dari kedua DUN itu bertujuan membantu menjana pendapatan golongan terbabit.

Penyelia PWB DUN Meru, Aniss Zuryanee Mahadi berkata, kursus yang julung kali diadakan membabitkan dua kawasan itu menjadi landasan tepat untuk memberi kesedaran kepada wanita berhubung kepentingan menjaga kesihatan.

Katanya, mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang keusahawanan perlu memiliki kesihatan yang baik bagi menjamin kualiti hidup sempurna.

“Kita memfokuskan untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya dapat menitikberatkan kesihatan kerana apabila seseorang itu berjaya dengan kesihatan yang baik, mereka berpeluang meningkatkan pendapatan hasil titik peluh sendiri.

“Majoriti yang turut serta dalam program ini juga datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang miskin bandar, malahan sebahagiannya adalah ibu tunggal dan tidak bekerja kerana perlu menguruskan keperluan keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Meru, Norlena Nayan berkata, pihaknya optimis melaksanakan pelbagai bentuk program bagi menggalakkan penyertaan wanita, khususnya di kawasan itu.

Katanya, program di bawah Skim Kesihatan Wanita seperti ‘Mamogram’ yang dikhaskan kepada wanita, di Selangor akan tetap diteruskan untuk memastikan kesihatan kaum itu terjaga dalam keadaan optimum.

“Peningkatan penyertaan program ini dilihat semakin bertambah dan maklum balas diterima juga amat positif kerana mereka diberi penjelasan secara terperinci mengenai penjagaan kesihatan.

“Saya berharap program seperti ini berterusan dan diperluaskan ke kawasan kampung atau pekan supaya mereka tidak ketinggalan dengan semua maklumat terkini mengenai perkara ini dapat,” katanya.

 

 


Pengarang :