NASIONALPENDIDIKAN

Raja Muda Kedah bakal dimasyhur Pro-Canselor UUM

ALOR SETAR, 5 NOV: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin akan dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu, pada Istiadat Konvokesyen ke-31 universiti itu, di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, pada 11 November ini.

Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pada sesi itu juga, UUM akan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) (Pengurusan Logistik) kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif PKT Logistic Group Sdn Bhd, Datuk Micheal Tio.

Beliau berkata, Sultan Kedah merangkap Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan ijazah kehormat berkenaan pada sesi pertama sidang konvokesyen berkenaan.

Katanya, pada konvokesyen kali ini, seramai 6,156 graduan bakal menerima ijazah masing-masing bermula 11 hingga 15 November ini.

“Seramai 4,726 adalah graduan Sarjana Muda, manakala 1,430 graduan pasca siswazah terdiri daripada 326 Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (tujuh), Doktor Pentadbiran Perniagaan (14) dan 1,083 graduan Ijazah Sarjana.

“Seramai 688 graduan mendapat ijazah kelas pertama dan 510 graduan bukan warganegara daripada 26 negara berjaya menamatkan pengajian kali ini,” katanya lapor BERNAMA.

Ahmad Bashawir berkata, ia turut membabitkan 44 graduan sulung daripada tiga program iaitu Sarjana Muda Pengurusan Acara seramai tiga graduan, Sarjana Sains (Analisis Data) (lima) dan Sarjana Sains (Kepengetuaan) (36) bakal menerima ijazah.

“Sebanyak 35 anugerah akan diberikan kepada 748 graduan dengan seorang graduan akan menerima Pingat Emas Canselor, dua graduan menerima Anugerah Pelajar DiRaja dan 41 graduan menerima Pingat Emas Naib Canselor,” katanya.

Sempena konvokesyen itu, UUM juga menganjurkan ekspo bertemakan ‘Ilmu, Budi, Bakti: Tonggak Pendidikan Keinsanan’ bermula 8 hingga 15 November ini dengan 130 gerai menjual pelbagai barangan.

Perasmian ekspo yang akan diadakan di padang kawad universiti itu akan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, pada 9 November ini.


Pengarang :