SUKANKINI

Rancang 10 perlawanan pemanas badan untuk Gergasi Merah

 

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Ketua Jurulatih baharu Selangor, B Sathianathan merancang mengadakan 10 aksi pemanas badan untuk skuad Gergasi Merah sebagai persiapan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Pengendali berusia 60 tahun itu menjelaskan beliau sudah mengenal pasti pasukan yang akan diuji oleh skuad Gergasi Merah pada aksi persahabatan berkenaan, namun akan merujuk kepada pihak pengurusan untuk perbincangan mendalam mengenai rancangan berkenaan.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan kesemua pemain pada 3 Disember ini sebelum memulakan latihan pramusim pada 4 Disember dan saya harap kesemua pemain dapat memberikan komitmen terbaik dalam kesemua perlawanan persahabatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menjelaskan beliau sedang mengintai khidmat beberapa pemain tempatan berpengalaman selain beberapa pemain import bagi memperkuatkan skuad Gergasi Merah,

Selangor sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon dan rakan sepasukannya, Abdul Halim Saari dari Kedah, selain mengintai peluang mengikat bekas perancang tengah kebangsaan, Safiq Rahim yang tidak akan bersama Johor Darul Ta’zim, musim depan.

“Pihak pengurusan sedang mengadakan perbincangan dengan pemain import kita, Rufino Segovia (dari Sepanyol), manakala selebihnya saya akan menilai mereka pada aksi persahabatan.

“Kalau pemain masih ada kontrak, saya akan beri peluang kepada memandangkan kita boleh mendaftarkan sehingga 30 pemain. Saya lihat Selangor merupakan antara pasukan yang banyak menampilkan pemain-pemain muda dan saya akan memberi peluang kepada mereka untuk terus beraksi dengan skuad utama Selangor,” katanya.

Pencapaian terbaik Selangor pada musim ini adalah muncul naib juara Piala FA, selain menduduki tangga kelapan daripada 12 pasukan dalam Liga Super.

Skuad Gergasi Merah, bagaimanapun gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :