NASIONAL

Rapatkan jurang kesaksamaan gender

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Usaha berterusan Wanita KEADILAN untuk merapatkan jurang kesaksamaan gender, di negara ini akan terus dilaksanakan.

Timbalan Ketua Wanitanya, Haniza Talha berkata, hal itu termasuk memberikan cadangan baru kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memartabatkan lagi wanita Malaysia.

Katanya, walaupun belum mencapai kuota 30 peratus untuk wanita diletakkan sebagai perwakilan dan pembuat keputusan, namun beliau berbangga kerana melihat perubahan lebih baik.

“Ini sangat signifikan dalam memastikan wanita tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan pesat negara.

“Wanita KEADILAN menjadi pencetus kepada pelbagai inisiatif baru dalam usaha pemberdayaan dan penggerak kepada agenda memartabatkan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Haniza berkata, Wanita KEADILAN juga adalah satu-satunya sayap yang mempunyai klinik guaman bergerak khusus bagi membantu wanita yang sedang menghadapi masalah rumah tangga.

Katanya, melaluinya, wanita berpeluang mencapai kesaksamaan sosial dan menikmati semula kehidupan yang lebih baik atau ketika menghadapi krisis.

Lebih manis, katanya, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin turut dilantik sebagai duta kepada Pertubuhan ‘Women Political Leaders’ (WPL) yang merupakan kongregasi kepimpinan wanita dunia.

“Penyertaan kita dalam arena politik antarabangsa bukan sahaja dapat meningkatkan kesepaduan antara wanita di seluruh dunia tetapi juga mengharumkan nama negara secara tidak langsung.

“Justeru, tidak seharusnya wanita terus dipinggirkan. Dalam keadaan seluruh dunia sedang berbicara berkenaan pembangunan sosio ekonomi mampan, Revolusi Industri 4.0 dan Internet of Things, kita perlu bersedia memastikan wanita Malaysia turut terbabit sama dalam perkembangan ini,” katanya.

 


Pengarang :