NASIONAL

Reformasi kini berada pada era pelaksanaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Selaras dengan KEADILAN yang kini berada dalam era pelaksanaan reformasi, ahli parti itu dituntut melakukan anjakan minda.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana reformasi bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya agenda pembangunan negara.

Katanya, anjakan minda untuk memiliki pemikiran positif dan mencari penyelesaian kepada permasalahan perlu dilakukan.

“Ahli KEADILAN dan reformis yang mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar. Anak Muda dan Wanita KEADILAN menggalas tanggungjawab besar menggilap idealisme dan mewarisi sebuah perjuangan rakyat yang luhur.

“Filasuf Karl Popper menegaskan: ‘All life is problem solving’. Maka, kita jangan membuang masa untuk berleter mengenai masalah.

“Peradaban manusia hanya akan maju dengan menyelesaikan masalah. Begitu juga dengan KEADILAN dan Pakatan Harapan. Kita akan maju dengan menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah tegas melaksanakan reformasi institusi sekali gus, cita-cita itu terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

“Pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah-langkah tegas melaksanakan reformasi institusi.

“Selepas 20 tahun kita memperjuangkan reformasi, cita-cita itu kini terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

 


Pengarang :