EKONOMINASIONAL

Respons Kerajaan kepada IR4.0 kena masanya- TalentCorp

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen dilihat sebagai respons kerajaan terhadap ketibaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0), yang memang kena pada masanya, selaras dengan keperluan mendesak ketika ini untuk menangani permintaan kepada bidang pekerjaan masa hadapan.

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) berkata pelbagai peruntukan bagi meningkatkan infrastruktur Malaysia khusus buat ekonomi digital adalah amat perlu ketika ini memandangkan ekonomi IR4.0 dilihat akan menampilkan pasaran global yang amat kompetetif, dijana oleh teknologi berasaskan internet.

“Belanjawan 2019 jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan berhubung perkara ini, apabila ia memberi fokus kepada usaha menyediakan kemahiran sumber tenaga negara yang sesuai untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh IR4.0,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pembentangan belanjawan menyaksikan RM210 juta dicadangkan bagi tempoh 2019 sehingga 2021 untuk menyokong pemindahan kepada IR4.0, dan Perbadanan Produktiviti Malaysia pula disasar melaksanakan program “Readiness Assessment” bagi membantu 500 syarikat kecil dan sederhana bertukar kepada IR4.0.

TalentCorp juga berharap lebih ramai majikan Malaysia dalam sektor swasta akan memberikan maklum balas yang positif menerusi langkah-langkah berinovasi bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif, termasuk menawarkan latihan sambil bekerja yang banyak membantu, seperti waktu kerja fleksible.

Sementara itu syarikat Kelly Services, syarikat peneraju global dalam sistem berkaitan tenaga kerja, menyambut baik inisiatif kerajaan dalam belanjawan itu khususnya merujuk kepada usahanya untuk menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja.

Menurutnya peruntukan RM10 juta bagi membangunkan pusat jagaan harian di pejabat-pejabat kerajaan pasti akan menggalakkan kaum ibu untuk kembali bekerja bagi membantu untuk turut sama menyumbang kepada ekonomi negara.

“Tambahan lagi, memang amat baik bagi kerajaan untuk menyatakan komitmen mereka bagi mencapai sasaran 30 peratus wanita memainkan peranan dalam bidang pembuat keputusan menjelang tahun 2020,” menurut kenyataan itu.

Berhubung peningkatan gaji minimum daripada RM1,050 kepada RM1,100, Kelly Services menyuarakan kebimbangannya mengenai impak pengumuman secara tiba-tiba kepada para usahawan yang sebelum ini menjangka peningkatan hanya akan kekal kepada lima peratus.

“Menjelang ketibaan hujung tahun, syarikat-syarikat perniagaan kini hanya ada kurang dua bulan untuk melaksanakan perubahan itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :