PBT SELANGOR

Ribuan anak pokok lagi terus ditanam di Shah Alam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 NOV: Sebanyak 6,075 anak pokok ditanam di sekitar kawasan hijau Seksyen 4, di sini, sempena program ‘Shah Alam Trees For Life 2018’, baru-baru ini.

Program kerjasama antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Canon buat kali ketiga itu bertujuan menghijaukan landskap bandar raya Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, jenis pokok yang ditanam adalah manggis, durian belanda, Leucophyllum frutescens (Texas ranger), Acalypha wilksiana red (Akalifa merah) dan Acalypha wilkesiana java white (Akalifa putih-hijau).

“Ia melibatkan penyertaan seramai 293 peserta terdiri daripada 200 warga kerja Canon, 14 warga kerja Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan MBSA termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Eco-warrior, Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2, MAHSA Universiti serta sukarelawan individu,” katanya.

Terdahulu, program itu disempurnakan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Andrew Koh.

Dalam program sama, Canon juga menyumbang wang tunai sebanyak RM30,000 kepada pihak berkuasa tempatan terbabit.

Shahrin berkata, pihaknya mengadakan pelbagai program lain bagi merealisasikan hasrat menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030,

Antaranya, program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau [email protected] Sekolah Shah Alam, Kebun Komuniti Shah Alam, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan Bas SMART Selangor.


Pengarang :