EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan permintaan pasaran, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1950/1990 berbanding dolar AS daripada 4.1940/1980 ketika ditutup semalam.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata risiko global yang tidak menentu dan penurunan harga minyak mentah menyebabkan kebanyakan peniaga tidak memasuki pasaran.

“Tumpuan kekal kepada mesyuarat antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Argentina minggu depan, yang mendorong pelabur tidak memasuki pasaran menjelang pertemuan penting itu, yang mempunyai risiko kepada peniaga,” katanya kepada Bernama.

Pada 9.15 pagi, minyak mentah Brent merekodkan harga US$62.60 setong.

Ringgit juga didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0549/0594 daripada 3.0526/0560 ketika ditutup semalam, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7117/7166 daripada 3.7131/7177.

Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.7848/7898 daripada 4.7824/7874 yang dicatatkan semalam dan lemah berbanding pound Britain keada 5.4015/4071 daripada 5.3629/3705.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :