EKONOMIRinggit

Ringgit dibuka tidak berubah

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Ringgit dibuka tanpa mencatatkan perubahan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini memandangkan pelabur menunggu Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan esok.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1830/1860 berbanding dolar AS, sama seperti ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, belanjawan itu penting kepada pelabur kerana ia akan menetapkan dasar kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

“Ia adalah belanjawan pertama kerajaan baharu, justeru pelabur ingin melihat prospek yang akan ditumpukan kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata, penurunan harga minyak mentah ekoran peningkatan bekalan dan kemungkinan perang perdagangan AS-China memberi kesan kepada pasaran bahan api mengurangkan minat terhadap ringgit, memandangkan mata wang itu amat bergantung kepadanya.

Pada jam 9 pagi, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras mencecah US$74.72 berbanding US$76.31 setong semalam.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0215 / 0243 daripada 3.0176 / 0209 pada Rabu serta naik berbanding euro kepada 4.7377 / 7427 daripada 4.7414 / 7465.

Mata wang tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3731 / 3790 daripada 5.3262 / 3317 dan lemah berbanding yen kepada 3.7080 / 7117 daripada 3.6969 / 6005.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :