EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini disokong oleh harga minyak yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.1820/1870 berbanding dolar US daripada 4.1830/1880 pada Khamis.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata harga minyak telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, selepas merosot pada awal bulan ini kepada paras terendah dalam tempoh 11 bulan, merupakan petunjuk positif kepada negara pengeluar minyak.

Bagaimanapun, katanya mata wang terdedah kepada faktor luaran, terutamanya rundingan mengenai dasar perdagangan yang akan berlangsung antara Amerika Syarikat dan China pada Sidang Kemuncak G20 hari ini di Buenos Aires.

“Pasaran global berada dalam kebuntuan dengan ketidaktentuan perdagangan yang berterusan. Dengan sentimen lebih optimis pada cadangan AS-China meneruskan “seni bina” perdagangan baharu, tanpa mengetahui apa yang diperlukan dan tidak pasti mengenai hasil daripada majlis makan malam G20 pada Sabtu, pasaran masih tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping, akan bertemu pada majlis makan malam pada Sabtu untuk membincangkan mengenai dasar perdagangan.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0567 daripada 3.0495/0552 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding yen kepada 3.6862/6922 daripada 3.6923/6977 dan susut berbanding euro kepada 4.7620/7694 daripada 4.7561/7626 semalam.

Ia turut meningkat berbanding pound British kepada 5.3446/3514 daripada 5.3455/3535 pada Khamis.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :