EKONOMI

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan dengan para pelabur memantau perkembangan terkini prestasi ekonomi global.

Antara peristiwa penting yang berlaku minggu depan ialah Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Argentina, pengumuman indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan China dan pergerakan harga minyak.

Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata PMI pembuatan China yang dijangka lemah pada November, boleh menjejaskan sentimen ekuiti serantau.

“Pelabur tempatan akan terus mengambil kira penurunan besar harga tenaga yang membawa kesan positif dan juga negatif kepada ekonomi Malaysia.

“Bagaimanapun, keseluruhannya, penurunan itu akan menjejaskan saham minyak dan gas utama di bursa tempatan manakala penurunan harga minyak petrol akan membawa kesan positif kepada pengguna,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata meskipun sentimen ringgit yang lemah dalam pasaran, tumpuan akan terarah kepada yuan, dan kesannya ke atas pasaran mata wang.

Beliau berkata meskipun penurunan harga minyak mentah dunia akan membawa kesan negatif kepada ringgit disebabkan kesannya kepada tabung kerajaan, namun terdapat petanda pemulihan dalam perdagangan pasaran sedang pesat membangun.

Menurutnya, satu daripada intipati mesyuarat G20 yang akan datang, yang bermula 30 Nov, adalah mesyuarat antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Buenos Aires untuk mendamaikan pertelingkahan perdagangan mereka.

Dilaporkan bahawa AS dijangka menaikkan tarifnya kepada 25 peratus ke atas import China bernilai US$200 bilion pada 1 Jan, 2019 daripada 10 peratus ketika ini.

Innes mengunjurkan ringgit terapung antara paras 4.18 dan 4.21 minggu depan sekiranya harga minyak dunia bertambah baik ditambah dengan keputusan positif daripada Sidang Kemuncak G20.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, unit tempatan turun kepada 4.1920/1960 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1940 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding kumpulan mata wang utama, unit tempatan diniagakan rendah.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0489/0530 daripada 3.0428/0462 dan berbanding yen Jepun, ia turun kepada 3.7150/7189 daripada 3.6946/6991.

Unit tempatan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3855/3927 daripada 5.3603/3671 dan susut berbanding euro kepada 4.7680/7730 daripada 4.7506/7568.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :