EKONOMIRinggit

Ringgit melantun semula berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Ringgit melantun semula untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini kerana mata wang berkenaan menurun semula selepas keuntungan baru-baru ini, menjelang keputusan pilihan raya pertengahan AS, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1630/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1780 yang direkodkan, pada jam 6 petang pada Isnin.

Pasaran ditutup semalam kerana cuti Hari Deepavali.

Peniaga berkenaan berkata, pilihan raya pertengahan pada Selasa akan menentukan sama ada Republikan akan dapat terus mengawal kedua dewan Kongres.

Pemain pasaran menjangka Demokrat akan mengawal Dewan Perwakilan manakala Republikan mengekalkan kawalan ke atas Dewan Senat, kata peniaga berkenaan.

“Republikan dilihat lebih mesra perniagaan. Jika Demokrat berkuasa semula, ini bermakna beberapa dasar utama Presiden Donald Trump akan menghadapi pembangkang dalam masa dua tahun daripada penggal pertamanya di White House,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0340/0383 daripada 3.0325/0372 pada Isnin, susut berbanding pound British kepada 5.4639/4713 daripada 5.4266/4347, dan lemah berbanding euro kepada 4.7695/7769 daripada 4.7493/7554.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6782/6836 daripada 3.6838/6885.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :