SELANGOR

RM1 juta untuk I-Asuh, Guru Anak Istimewa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi membantu para ibu bapa mencari pengasuh yang sesuai dan terlatih bagi menjaga anak-anak mereka sementara mereka mencari rezeki untuk keluarga.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu membabitkan program ‘Work From Home’ (I-Asuh) dan Guru Anak Istimewa Selangor.

“Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes kematian bayi dan kanak-kanak yang menyayat hati melibatkan isu pengasuh.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu melibatkan pengasuhan kanak-kanak di rumah dizahirkan melalui pelaksanaan program-program pembangunan kanak-kanak iaitu Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) yang melibatkan pengasuh dan pengusaha taska di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, bagi program I-Asuh Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Negeri (JKM) Selangor untuk mendaftarkan para pengasuh di rumah ke dalam program ini supaya maklumat berkaitan pengasuh dapat dihimpunkan untuk dimanfaatkan oleh para ibu bapa berkerjaya.

Sementara itu, program Guru Anak Istimewa Selangor atau ‘Shadow Teachers’ pula dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran kanak-kanak berkepeluan khas.

“Penerimaan taska sedia ada terhadap golongan anak-anak berkeperluan khas pada masa kini adalah kurang dan sekali gus menjadi dilema kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak istimewa ke institusi yang menyediakan kemudahan dan pendidikan yang diperlukan oleh anak-anak mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM270,000 untuk menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Amirudin berkata, majlis itu akan menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor tentang perkara berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU dengan harapan agar golongan OKU dapat sepenuhnya turut serta dalam pembangunan negara dan masyarakat.


Pengarang :