NASIONAL

RM100 juta tingkat peluang kerjaya kaum India

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 26 NOV : Kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada komuniti India bagi meningkatkan peluang kerjaya kaum terbabit.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, hal itu dinytakan melalui pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu.

“Tahap sosial kaum India juga kini sudah berkembang maju seiring pembangunan negara.

“Justeru, peruntukan itu bertujuan mengukuhkan latihan dan kemahiran dalam bidang teknikal, sekali gus dapat meningkatkan peluang kerjaya belia India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) 2018 Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Perkarangan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan dan peningkatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, di seluruh negara.

“Peruntukan ini bertujuan meningkatkan pendidikan bagi masa depan yang lebih baik.

“Saya optimis kesemua peruntukkan dapat digunakan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan asas, merealisasikan potensi kanak-kanak, meningkatkan pendapatan dan menambahkan penyertaan sosial ekonomi kaum India,” katanya.


Pengarang :