SELANGOR

RM18 juta diperuntuk baik pulih rumah terbengkalai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak RM18 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) untuk membantu memulihkan projek terbengkalai di negeri.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, bagaimanapun peruntukan terbabit hanya tertakluk kepada projek tanpa lesen dan juga di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, setakat ini terdapat tiga projek rumah terbengkalai sedang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

“Ia termasuk di Permatang, Kuala Selangor, Projek Melayu Rasa dan Sungai Chong, yang kedua-duanya terletak di Kuala Kubu Bharu.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai perunding pengurusan projek untuk menjalankan kerja baik pulih,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut turun padang ke tapak perumahan terbengkalai yang terletak di Hulu Selangor.

Pada September lalu, Amirudin melalui Program Jelajah Maju Bersama turun padang ke Kampung Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu bagi mendengar permasalahan penduduk yang menderita hampir 20 tahun lamanya akibat projek perumahan terbengkalai.

Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membantu penduduk kampung berkenaan daripada segi infrastruktur dengan kos membabitkan RM4 juta.


Pengarang :