SELANGOR

RM25 juta bangunkan industri tenaga kerja

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM25 juta diperuntukkan bagi membangunkan industri tenaga kerja sekali gus melahirkan tenaga manusia berkualiti dan berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif memperkasakan sumber tenaga manusia mesti dilakukan dengan komprehensif dan efisien bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, usaha mempersiapkan sumber tenaga manusia seiring keperluan industri dan dapat menarik pelabur ke Selangor harus dilakukan dengan terancang.

“Melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), ia dapat melatih keperluan industri seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

“Melalui program itu juga, ia dijangka meningkatkan kebolehpasaran dan secara langsung dapat menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan dan golongan belia,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang menyediakan Pelan Tindakan Industri 4.0 Negeri Selangor.

“Mengikut pelan berkenaan, ia akan mengambil pandangan daripada industri, institusi pendidikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain bagi memastikan satu kerangka yang holistik.

“Ia turut merangkumi bidang kemudahan pengangkutan termasuk ‘aerospace’, bioteknologi, elektrik dan elektronik, industri makanan, dan perindustrian dalam melatih sumber tenaga manusia yang seiring dengan keperluan industri,” katanya.


Pengarang :