BERITA UTAMASELANGOR

RM32.6 juta diperuntuk tahun ini untuk tingkatkan agropreneur

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM32.6 juta pada tahun ini bagi hasil dan pendapatan agropreneur di dalam sektor pertanian yang meliputi bidang tanaman, penternakan, nelayan dan juga akuakultur serta Industri Asas Tani (IAT) meningkat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tekad untuk memartabatkan sektor pertanian sebagai salah satu sumber ekonomi utama negeri.

“Sudah pasti, golongan petani, penternak dan nelayan dari seluruh Selangor tidak akan dilupakan jasa dan sumbangan mereka di dalam menyediakan bekalan makanan kepada seluruh rakyat akan sentiasa dibela.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian ini bukan sahaja sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi memartabatkannya sebagai satu sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah termasuk memberi fokus pembangunan pertanian di kawasan Utara Selangor yang kaya dengan pengeluaran hasil pertanian.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan melalui insentif dan projek pertanian berimpak tinggi dan dalam masa yang sama boleh meningkatkan hasil serta pendapatan golongan agropreneur dan juga menarik minat lebih ramai generasi muda untuk berkecimpung dalam sektor pertanian dengan menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.

“Jika di negara luar, agro pelancongan adalah merupakan salah satu penyumbang pendapatan kepada masyarakat luar bandar secara amnya dan di daerah ini khususnya telah ada bahan-bahan dan infrastruktur yang lengkap dan strategik untuk memungkinkan ianya menjadi kenyataan.

“Pada masa ini, Sekinchan telah dikenali sebagai kawasan pelancongan untuk pananaman padi melalui pengwujudan muzium padi, di Daerah Hulu Selangor pula dengan Selangor Fruit Valley, di Kuala Selangor juga berpotensi untuk menjadikan tarikan pelancong selain daripada tarikan utama yang telah sedia ada iaitu kawasan kelip-kelip dan juga Sky Mirror,” katanya.

=EZY=


Pengarang :