SELANGOR

‘Ronda-ronda KTM Komuter’ tawar pakej ‘Rail-Edu-Tourism’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 14 NOV: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan pakej baharu berkonsepkan ‘Rail-Edu-Tourism’ dengan tawaran harga serendah RM70 hingga RM120 seorang menerusi Ronda-ronda KTM Komuter.

Pengurus Besarnya, Khair Johari Ishak berkata, pakej berbentuk pendidikan itu bakal memberi pengalaman menarik kepada orang awam, khususnya kanak-kanak menaiki tren dan berekreasi sambil mengunjungi lokasi menarik berhampiran rangkaian KTM Komuter.

Katanya, ia sebagai usaha mempromosi dan membudayakan penggunaan tren kepada generasi muda, terutama pelajar sekolah, sekali gus menggalakkan aktiviti pelancongan domestik melalui perkhidmatan rel.

“Pakej Ronda-ronda KTM Komuter mula diperkenalkan pada 2004 dengan tiga jenis pakej sahaja, namun dari semasa ke semasa ia memberikan lebih pilihan sehingga mempunyai enam jenis pakej, pada 2015.

“Untuk pembaharuan kali ini, jalinan kerjasama pintar antara KTM Berhad dan Bangi Wonderland serta Menara Kuala Lumpur diperkenalkan selain membabitkan penambahan lokasi baharu menjadikan jumlah pakej sebanyak tujuh jenis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Familiarization Trip, di Bangi Wonderland, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Muhamad Nur Nasrullah.

Selain itu, Fam Trip berkenaan adalah program pengenalan kepada Pakej Ronda-Ronda KTM Komuter dengan 132 pelajar termasuk guru dari Tadika Ilham Cahayaku Batu Caves, Sekolah Rendah Agama Islam Seksyen 19 Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya Bangsar dibawa menaiki tren dari Stesen KL Sentral ke Stesen Bangi, sebelum meneruskan perjalanan ke Bangi Wonderland menaiki bas.

Mengulas lanjut, Khair berkata, pakej itu turut mendapat kerjasama daripada Unit KTM Holidays dan Event Management yang memainkan peranan penting dalam menyokong dasar industri pelancongan negara melalui konsep ‘Rail Tourism’.

“Kerjasama ini membolehkan pakej Ronda-ronda KTM Komuter lebih dikenali dan mendapat perhatian semua pihak terutama pelajar serta guru daripada peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Untuk itu, pada tahun hadapan kita akan menubuhkan sebuah pasukan bagi menguruskan pakej ini selain mewujudkan lebih banyak pakej supaya ia lebih menarik dan berinformatif,” katanya.

Bagi mereka yang berminat dengan pakej Ronda-ronda KTM Komuter boleh menghubungi Unit Pemasaran KTM Komuter di talian 03-22798843 atau Unit KTM Holidays 03-22798861 untuk keterangan lanjut dan tempahan.


Pengarang :