EKONOMISELANGOR

Sambut baik perisytiharan Zon Perdagangan Bebas dan Bandar Aero Angkasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman dalam Belanjawan 2019 Kerajaan Persekutan untuk menjadikan Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan pengumuman itu merupakan satu suntikan yang sangat bermakna kepada Selangor.

“Saya menyambut baik inisiatif diumumkan antaranya pusat perdagangan bebas di Pulau Indah dan kita sememangnya mempunyai kawasan perdagangan atau perindustrian di Pulau Indah di bawah kawasan Central Spectrum, Ikea dan beberapa kawasan kilang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Selain itu, Amirudin turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Subang sebagai Bandar Aero Angkasa.

Katanya, selain memang wujud pusat perkembangan Aero Angkasa, di Subang juga mempunyai beberapa aset yang mampu merancakkan lagi usaha itu seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

“Maka, dengan perisytiharan tersebut dan usaha membina bandar Aero Angkasa itu saya kira akan menyuntik lagi bagi memperkenalkan Selangor sebagai hub industri Aero Angkasa di negara kita,” katanya,

Ketika menyentuh inisiatif sebanyak RM50 dan RM100 bagi penggunaan kenderaan awam, Amirudin berkata beliau akan mengambil langkah yang selaras dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 yang akan dibentangkan nanti.


Pengarang :