PBTSELANGOR

Sampah terbang: Netizen puji tindakan YDP MPK ‘sekolahkan’ warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 NOV: Langkah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin turun padang mengarahkan warga asing membersihkan pangsapuri dipenuhi sampah, dipuji netizen.

Rata-rata menyambut baik usaha Mohamad Yasid dan mengucapkan tahniah kepada MPK kerana bersikap tegas terhadap sikap tidak bertanggungjawab itu.

Bagi Kelantan Feri, beliau mengucapkan tahniah kepada MPK atas usaha dilakukan berkenaan.

Beliau sedia kerana budaya kotor dan tidak elok dibawa oleh pekerja asing yang menetap di kawasan terbabit.

“Sikap sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia akan mengundang pelbagai jenis penyakit dan mencacatkan pandangan awam,” tulisnya.

Sementara itu, bagi Idris Mohamad pula menganggap, langkah itu merupakan langkah bijak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

“Selain itu, ini adalah cara mendisplinkan mereka serta mungkin boleh dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau penduduk yang membuang sampah,” katanya.

Sk Shree pula mahu pemantauan dan tindakan sedemikian dilaksanakan ke atas pangsapuri dan perumahan yang lain.

“Kami mahu imej Klang dijaga, tidak mahu dicemari dengan imej kotor seperti ini,” tulis Ahmad Shahrir pula.

Semalam, Mohamad Yasid turun padang melihat sendiri keadaan sampah di pangsapuri berkenaan sekali gus, menyekolahkan warga asing itu dengan mengarahkan kerja pembersihan dilakukan sendiri serta merta.

Beliau turut memberi amaran kepada warga asing itu supaya tidak melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab masa hadapan.

Terdahulu, sikap warga asing yang tidak bertanggungjawab melempar semua jenis sampah dari atas pangsapuri di Bandar Sultan Sulaiman, menimbulkan rasa ‘geram’ MPK.

Sikap pengotor berpunca daripada ramainya warga asing menghuni pangsapuri berkenaan sehinggakan bahagian bawah pangsapuri penuh sampah.


Pengarang :