PBTSELANGOR

Sampah terbang: Warga asing diarah bersihkan kediaman

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 13 NOV: Sikap warga asing yang tidak bertanggungjawab melempar semua jenis sampah dari atas pangsapuri di Bandar Sultan Sulaiman, menimbulkan rasa ‘geram’ Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sikap pengotor berpunca daripada ramainya warga asing menghuni pangsapuri berkenaan sehinggakan bahagian bawah pangsapuri penuh sampah.

Biarpun, MPK berkali membersihkan kawasan berkenaan namun, keadaannya tetap tidak berubah.

Terbaru, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin turun padang melihat sendiri keadaan sampah di pangsapuri berkenaan, semalam.

Malah, beliau mengarahkan warga asing yang tinggal di pangsapuri berkenaan turun untuk membersihkan kawasan itu serta merta.

“Tindakan ini sangat wajar kerana keadaan ini adalah disebabkan oleh sikap yang tidak bertanggungjawab dari mereka sendiri.

“Operasi ini adalah berkenaan sampah sarap yang terlalu banyak, warga asing ini sewenangnya membuang sampah merata-rata sekali gus, mengakibatkan longgokan sampah tidak terkawal,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Yasid berkata, longgokan sampah itu bukan sahaja mengakibatkan pencemaran udara tetapi juga dikhuatiri menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau turut memberi amaran kepada warga asing itu supaya tidak melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab masa hadapan.

“MPK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya perkara ini masih berulang.

“Hal ini kerana, MPK tidak pernah berkompromi dalam isu kebersihan dan kesihatan warga Klang khususnya,” katanya.

Operasi berkenaan turut dihadiri oleh Jabatan Penguatkuasa MPK, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran, wakil daripada KDEB Waste Management, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan polis.

 


Pengarang :